Monday, April 12, 2010

HATI yang kamu lupa jaga

Hati. Bagaimana agaknya keadaan hati kita?

Saya selalu mempunyai beberapa orang manusia di sisi saya yang bertanya: “Apa khabar hati?”

Saya sentiasa tersenyum bila mendapat soalan sedemikian. Selain satu seloroh yang baik, ia juga satu peringatan. Ya, hati. Jika baik hati, maka baiklah seluruh jasad. Bila buruk hati kita, maka buruklah seluruh jasad.

Namun, kita jarang berusaha menjaganya.

Alasannya sebab ia tidak terlihat.

Tetapi siapakah yang tahu bahawa, kebahagiaan dan kelapangan manusia itu bersumberkan dari kebersihan hatinya, bukan dari kebanyakan hartanya?


Rasulullah SAW bersabda

“Sesungguhnya yang halal itu jelas, dan sesugguhnya yang haram itu jelas, dan antara keduanya adalah perkara-perkara musytabihat(yang tidak jelas sama ada itu haram atau tidak) dan tidak diketahui akannya(kejelasannya) ramai dari kalangan manusia. Barangsiapa yang menjaga dirinya dari perkara syubuhat itu, maka dia telah menjaga agamanya dan kehormatannya. Barangsiapa jatuh ke dalam perkara syubuhat maka dia telah jatuh ke dalam perkara haram. Seperti ppengembala yang mengembala di sekitar daerah larangan(sempadan), ditakuti akan memasukinya(daerah larangan itu). Ketahuilah bahawa setiap raja itu mempunyai kawasan larangannya(yang orang lain dilarang memasukinya) dan kawasan larangan Allah adalah apa yang diharamkan olehnya. Ketahuilah di dalam jasad itu ada segumpal darah, sekiranya ia baik maka baiklah seluruh jasad, sekiranya ia buruk, maka buruklah seluruh jasad, ketahuilah bahawa ia adalah Qalb” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Apakah kita telah memasuki kawasan larangan Allah SWT?

Ini persoalannya. Melihat kembali di dalam kehidupan kita, sudah berapa banyak kali kita melangkah masuk ke dalam kawasan larangan Allah SWT?

Adakah kita menjaga diri kita agar tidak berada di sempadan kawasan larangan-Nya?

Atau kita sengaja berada di sempadan kawasan larangan-Nya? Agar nanti biar diri kita terlangkau sempadan larangan itu?

Di sinilah bezanya manusia yang beriman dengan yang tidak sempurna keimanannya.

Sekiranya kita mengetahui sesuatu perkara itu menarik diri kita kepada perkara haram, maka kita akan menjauhi perkara itu. Kita tidak akan sengaja mendekatinya. Hal ini sekiranya jiwa kita sensitif untuk menjaga diri dari kemurkaan Allah.

Di sisi Allah, musytabihat itu tiada

Musytabihat itu adalah untuk manusia sahaja. Tidak pasti sama ada perkara itu halal atau tidak. Namun di sisi Allah, Allah Maha Mengetahui. Tiada perkara yang tidak jelas di sisi-Nya. Halal dan haram tidak tersembunyi atau terkelabu di hadapan-Nya.

Justeru, kalau kita sentiasa meletakkan diri kita ke dalam perkara-perkara yang muystabihat, yang kita tidak pasti ianya halal atau haram, maka kita pastinya akan termasuk dalam perkara-perkara haram. Itulah dia maknanya: “Barangsiapa jatuh ke dalam perkara syubuhat maka dia telah jatuh ke dalam perkara haram…”

Sejauh manakah kita menjaga diri kita?

Sekeliling kita, apakah kita memerhatikannya?

Diri kita, apakah dipenuhi perkara halal, atau kita isi banyak dengan perkara musytabihat? Atau lebih teruk lagi, yang haram pun kita ambil seakan-akan ianya boleh dan dihalalkan oleh Allah SWT? Apakah anda memerhatikan sekeliling anda, kehidupan anda? Apakah anda mengambil berat akan halal haram?

Atau kita hanya bising isu halal haram makanan sahaja? Bagaimana halal haram dalam amalan?

Lihatlah di akhir hadith, apakah yang Rasulullah SAW sebutkan?

Rasulullah SAW menyebut berkenaan Qalb. Atau mudah biasanya manusia terjemahkan sebagai hati. Ada juga yang menterjemahkan sebagai jantung kerana jantunglah yang mengepam darah ke seluruh tubuh. Walau macam mana pun, ianya menunjukkan kepentingan penjagaan terhadap ‘hati’ itu.

Kenapa perlu menjaga diri dari perkara yang diharamkan oleh Allah SWT?

Kerana hendak menjaga hati. Hati yang di dalamnya penuh dengan perkara haram, baik dari segi makanan, mahupun perbuatan, ianya akan menjadi hitam dan gelap, lantas keras dan tidak lagi mampu berfungsi untuk bergetar apabila disebut nama Allah SWT.

Rasailah hati anda sekarang.

Adakah ianya hidup?

Penutup: Hati adalah generator

Di manakah letaknya perasaan bahagia bila mansuia bahagia? Dari mana kah kita merasai rasa lapang dan tenang bila kita merasainya?

Daripada ‘hati’. Itulah dia sumbernya, mengalirkan segala perasaan keluar mengharumkan kehidupan kita. Sebab itu manusia yang mempunyai masalah hati tidak bahagia. Walau senyuman tertampal di muka, hatinya meronta-ronta derita. Dari hatinya yang tidak tenang itu, membuak keluar kebusukan yang merosakkan kehidupannya.

Maka untuk menjadi manusia yang terbaik, hendak tidak hendak penjagaan hati perlu menjadi prioriti.

Maka, saya suka bertanya:

“Apa khabar hati?”

Sama-sama kita perhati, dan koreksi diri.


:::::::originally from LANGIT ILAHI::::::::::::::::::

No comments:

Post a Comment